Jumaat, 1 April 2016

Kanser Serviks: 17 Soalan yang Kerap Ditanya dan Jawapannya pada Tahun 2016

Diambil dari website My.Doc.Asia
 
 

Kanser Serviks: 17 Soalan yang Kerap Ditanya dan Jawapannya pada Tahun 2016

Kanser merupakan penyebab utama kematian di seluruh dunia, merangkumi 8.2 juta kematian pada tahun 2012. Kanser serviks merupakan salah satu penyebabnya. Di Malaysia, ia merupakan kanser ketiga yang paling banyak dihadapi, merangkumi 11% daripada semua kanser dalam kalangan wanita. Lebih daripada 1100 wanita telah didiagnos bahawa menghadapi kanser serviks pada setiap tahun. Risiko menghadapi kanser serviks meningkat selepas umur 30 tahun dan puncaknya adalah pada umur 60-69 tahun. Manakala di Indonesia, kanser serviks merupakan kanser kedua terbanyak selepas kanser payudara. Sebanyak 15,000 kes baru tentang kanser serviks di Indonesia pada setiap tahun. WHO meletakkan Indonesia sebagai negara yang mempunyai penghidap kanser serviks yang paling banyak. Dalam erti kata lain, kanser serviks merupakan pembunuh utama dalam kalangan wanita di Indonesia.

Bersempena dengan 8hb Mac Hari Wanita Antarabangsa (International Women's Day), pasukan kami memulakan kajian dan penyelidikan terhadap 5000+ rakyat Malaysia tentang topik "apakah soalan yang anda mahu bertanya tentang kanser serviks?" pada Januari lepas. Di samping itu, kami juga telah menjalankan perbincangan tentang kanser serviks bersama dengan pakar kanser wanita, Dr Zaharuddin Rahmat @ Mohd.Rawi - Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan GineOnkologi. Dr Zaharuddin kini menjalani amalannya di KL Gynaecologist @ Gleneagles Medini Hospital, Johor, Malaysia.

Berikutnya adalah soalan-soalan yang berkaitan kanser serviks kerap ditanya-tanya dan jawapannya pada tahun 2016, beserta dengan bilangan yang "bertanya". Anda boleh klik pada pautan soalan yang diminati agar dapat membaca dengan selanjutnya.

 

1.Apakah kanser serviks? (200 bertanya)

Serviks merupakan bahagian bawah rahim yang bersambung ke bahagian atas faraj. Ia juga dikenali sebagai pangkal rahim atau leher rahim. Ia terdiri daripada lapisan sel. Sel-sel yang sihat akan tumbuh, membahagi dan digantikan jika perlu. Kanser serviks berlaku apabila sel-sel tersebut berubah dan berkembang secara mendadak ke lapisan yang lebih dalam atau merebak ke organ-organ lain. Sel kanser akan membentuk tisu-tisu yang dikenali sebagai tumor kanser (tumor malignan).




2. Adakah kanser serviks boleh diwarisi secara keturunan ? (1000 bertanya)

Kanser serviks tidak boleh diwarisi. Punca utama berlakunya kanser serviks adalah jangkitan berterusan pada serviks yang disebabkan Human Papilloma Virus (HPV) yang jenis ‘berisiko tinggi' (hrHPV). hrHPV adalah sejenis virus yang dijangkiti dari individu ke individu lain semasa melakukan hubungan seks. Sekurang-kurangnya separuh daripada individu yang aktif dalam melakukan hubungan seks akan mendapat HPV dalam kehidupan mereka namun hanya segelintir golongan wanita sahaja yang akan mendapat kanser serviks. Kira-kira 9 daripada 10 jangkitan hrHPV akan dihapuskan secara menyeluruh dalam jangsa masa 2 tahun. Ini bermaksud kebanyakan wanita yang dijangkiti hrHPV tidak mendapat kanser. Ianya hanya melibatkan sekumpulan kecil wanita yang dijangkiti hrHPV secara berterusan. Jangkitan tersebut berkemungkinan mengakibatkan sel-sel  tidak normal pada serviks. Jika sel-sel ini tidak dirawati, ia mampu menjadi kanser pada masa depan.

hrHPV dijangkiti melalui hubungan seks, oleh yang demikian, kanser serviks bukan penyakit yang boleh diwarisi secara keturunan.




3. Adakah kanser serviks dapat diubati? (880 bertanya)

Kanser serviks berkembang secara perlahan. Ia bermula dari jangkitan hrHPV pada serviks dan seterusnya menjadi sel-sel yang tidak normal. Peratusan kecil daripada sel-sel tidak normal ini yang tidak dirawati akan menjadi tumor kanser. Proses ini mengambil masa beberapa tahun untuk menjadi tumor kanser.

Pap smear secara berkala dapat mengesan sel-sel yang tidak normal sebelum ia menjadi kanser. Sel-sel dan tisu-tisu yang tidak normal boleh dirawati dengan prosedur yang mudah misalnya kolposkopi dan ‘large loop excision of the cervix’ (LLETZ). Prosedur ini akan mengeluarkan tisu-tisu yang tidak normal secara menyeluruh sebelum ia menjadi kanser. Jika kanser ini hanya pada serviks, pembedahan seperti Histerektomi Wertheim dapat mengeluarkan tumor kanser dengan menyeluruh.

Peringkat awal kanser serviks dapat diubati jika dirawat dengan sewajarnya oleh Pakar GineOnkologi yang terlatih. Walaubagaimanapun, pesakit tersebut masih perlu menjalani pemeriksaan susulan untuk pengawasan.




4. Adakah kanser serviks dapat merebak? Jika ya…Di manakah kanser serviks merebak? Bolehkah ia diubati...? (600 bertanya)

Kanser serviks boleh merebak ke organ-organ dan bahagian badan lain (metastasis). Kanser merupakan ketulan tisu yang terdiri daripada sel kanser yang merebak secara berterusan serta di luar kawalan. Kanser tersebut menyerang tisu dan organ yang berhampiran, mengakibatkan kerosakan. Kanser juga berkemungkinan merebak ke bahagian badan lain jika sesetengah sel kanser terpisah dengan tumor asal (primer) dan dibawa melalui aliran darah saluran limfa ke bahagian-bahagian badan yang lain seperti pundi kencing, usus besar, paru-paru, hati dan tulang belakang. Sekumpulan sel ini mungkin berkembang untuk membentuk tumor lain (sekunder/metastases) di satu atau lebih bahagian badan. Kanser sekunder ini berkemungkinan tumbuh, menyerang serta merosakkan tisu yang berhampiran dan seterusnya merebak lagi.

Kanser serviks peringkat tinggi dengan penyakit yang merebak luas adalah sukar untuk dirawati dan tidak dapat diubati dengan berkesan. Tujuan penyakit yang peringkat tinggi adalah untuk mengawal penyakit tersebut, agar pesakit mampu menjalani kehidupan yang selesa dengan kesakitan dan gejala-gejala secara minimal.




5. Adakah kanser serviks dianggap penyakit yang membawa maut? (400 bertanya)

Peringkat awal kanser serviks dapat dirawati dengan berkesan dan penyakit ini juga dapat dihapuskan secara menyeluruh dengan pembedahan/rawatan yang sesuai. Pesakit tersebut dapat menjalankan kehidupan seperti individu lain dan risiko penyakit ini berulang adalah agak sangat rendah.

Namun begitu, kanser serviks peringkat tinggi dengan penyakit yang merebak luas tidak dapat diubati dengan berkesan dan hasilnya (prognosis) adalah sangat tidak baik.




6. Adakah kanser serviks berjangkit? (320 bertanya)

Kanser serviks sendiri tidak akan berjangkit – Ia tidak dapat merebak dari individu ke individu lain. Hanya hrHPV dapat berjangkit dan merebak melalui hubungan seks.




7. Apakah yang menyebabkan berlakunya kanser serviks selain daripada hpv? (300 bertanya)

Punca utama berlakunya kanser serviks adalah jangkitan berterusan pada serviks yang disebabkan Human Papilloma Virus (HPV) yang jenis ‘berisiko tinggi' (hrHPV). Akan tetapi, risiko untuk menghidap kanser serviks yang jarang (dan kanser faraj/vagina) meningkat dalam kalangan wanita di mana ibu mereka yang mengambil ubat-ubatan diethylstilbestrol (DES) semasa mengandung. Hormon tersebut diberikan kepada wanita yang pernah mengalami keguguran namun ianya tidak lagi popular pada masa kini.

Faktor-faktor seperti berikut meningkatkan risiko mengalami kanser serviks pada wanita telah dijangkiti hrHPV:

·         Mengabaikan ujian Pap smear atau tidak pernah menjalani ujian Pap smear. Golongan wanita yang tidak menjalani ujian Pap secara berkala adalah lebih cenderung untuk menghidap kanser serviks kerana ujian Pap membolehkan doktor untuk mengesan awal sel serviks yang tidak normal sebelum ia menjadi kanser serviks.

·         Menghisap rokok. Wanita yang menghisap rokok selalunya mengalami jangkitan hrHPV secara berterusan disebabkan imuniti mereka lemah (jika dibandingkan dengan bukan perokok) dan tidak mampu membasmi hrHPV.

·         Imuniti menurun. Wanita yang mengalami keadaan sistem imun yang lemah seperti jangkitan HIV, penyakit kronik terutamanya pengambilan ubat-ubatan imunosupresif misalnya pesakit pemindahan buah pinggang dan kencing manis adalah berkemungkinan mempunyai risiko yang lebih tinggi bagi menghidap kanser serviks.

·         Penyakit jangkitan secara seksual (STD). Wanita yang dijangkiti dengan STD secara seksual adalah berisiko lebih tinggi dijangkiti hrHPV.

·         Mempunyai lebih daripada empat anak. Wanita yang mempunyai lima atau lebih ramai anak berkemungkinan lebih mudah mengalami kanser serviks. Ini berkaitan dengan trauma berulang pada serviks semasa proses kelahiran bayi secara normal. Oleh yang demikian, risiko mendapat jangkitan hrHPV secara berterusan adalah lebih tinggi.




8. Apakah kanser serviks berasa? adakah kanser serviks mencederakan/ menyebabkan kesakitan? (700 bertanya)

Peringkat awal kanser serviks tidak menyebabkan sebarang tanda dan gejala. Kanser serviks biasanya menyebabkan pendarahan, bintik-bintik darah, lendiran faraj secara tidak normal. Haid mungkin lebih banyak, tidak sekata daripada biasa dan berlakunya pendarahan selepas menjalani hubungan seks. Gejala-gejala penyakit ini termasuklah sakit pelvis, masalah membuang air kecil, air kencing berdarah dan kaki bengkak. Ini kerana kanser tersebut telah merebak ke organ yang berhampiran dan kanser telah mengganggu fungsi organ.




9. Adakah saya mengalami kanser serviks? Bolehkah saya melakukan pemeriksaan sendiri bagi mencegahnya? Bagaimanakah? (250 bertanya)

Sila rujuk jawapan no.7




10. Adakah kanser serviks berbau? (200 bertanya)

Peringkat awal kanser serviks tidak mempunyai sebarang gejala seperti berbau atau berlakunya pendarahan. Walaubagaimanapun, jika kanser serviks dijangkiti kuman, faraj akan berbau busuk serta lelehan berdarah.




11. Adakah kanser serviks merebak melalui hubungan seks? (140 bertanya)

Kanser serviks sendiri tidak akan berjangkit – Ia tidak dapat merebak dari individu ke individu lain. Hanya hrHPV dapat berjangkit dan merebak melalui hubungan seks.




12. Adakah kanser serviks boleh berulang? (110 bertanya)

Seperti kanser lain, kanser serviks boleh berulang terutamanya penyakit peringkat tinggi semasa diagnosis pertama. Selepas menamatkan rawatan pertama, pesakit digalakkan membuat rawatan susulan secara berkala seperti setiap 3 bulan untuk 2 tahun pertama rawatan tamat, seterusnya setiap 6 bulan untuk 2 tahun rawatan kemudian dan jika tidak mempunyai sebarang bukti bahawa penyakit tersebut berulang pada 5 tahun pertama, pesakit akan menjalani susulan secara tahunan. Semasa rawatan susulan, pakar gineonkologi akan mengesan sama ada gejala-gejala dan tanda-tanda penyakit tersebut ada berulang. Pemeriksaan faraj yang termasuklah vault smear (seperti Pap smear) pada bahagian atas faraj.




13. Adakah kanser serviks dapat dielakkan? (70 bertanya)

Kanser serviks dapat dielakkan. Wanita boleh menggelakkan penyakit ini dengan;

a.    Dapatkan suntikan vaksin HPV. Ia melindungi wanita daripada dijangkiti HPV yang sering menyebabkan kanser serviks, faraj dan vulvar. Vaksin HPV adalah suntikan sebanyak 3 kali untuk setiap individu. Suntikan vaksin HPV diberikan kepada wanita bermula dari umur 9 tahun.

b.    Lakukan Ujian Pap Smear secara berkala bagi mengesan sel-sel serviks yang tidak normal.

c.    Menjalani pemeriksaan susulan dengan doktor seperti yang telah dijadualkan jika keputusan Pap smear tidak normal. Jika sel-sel tidak normal tidak dirawati, ia mampu menjadi kanser pada masa depan.

d.    Jangan merokok kerana merokok berkait rapat dengan jangkitan HPV secara berterusan yang menyebabkan sel-sel tidak normal.

e.    Amalkan seks yang selamat dengan menggunakan kondom dan mempunyai pasangan seks yang tetap mampu mengurangkan risiko menghidap kanser serviks.




14. Bolehkah kanser serviks berkembang dalam masa setahun sahaja? (30 bertanya)

Kanser serviks biasanya mengambil beberapa tahun untuk berkembang. Sel-sel serviks pada permulaannya akan berubah menjadi tidak normal sebelum menjadi kanser. Perubahan tersebut dikenali sebagai cervical intraepithelial neoplasia (CIN) atau dysplasia. Jika sel-sel tidak normal tidak dirawati selama beberapa tahun, ia mampu menjadi kanser pada masa depan.




15. Adakah kanser serviks dapat merebak dengan pantas? (30 bertanya)

Sebaik sahaja pesakit menghidap kanser serviks, penyakit ini pada mulanya akan merebak ke organ-organ yang berhampiran seperti rahim, tisu sekitar rahim (parametrium), ureter, pundi kencing dan rektum. Kanser ini boleh merebak ke bahagian-bahagian badan seperti paru-paru, tulang belakang dan hati. Proses ini mengambil masa beberapa bulan ke beberapa tahun.

Selepas selesai rawatan utama kanser serviks (Pembedahan radikal dengan atau tanpa kemoterapi / radioterapi), pesakit adalah dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan susulan seperti yang telah dijadualkan supaya dapat mengesan penyakit ini sama ada berulang atau tidak.




16. Bolehkah kanser serviks mengakibatkan kemandulan? (170 bertanya)

Rawatan untuk kanser serviks melibatkan histerektomi dengan atau tanpa kemoterapi / terapi radiasi. Histerektomi bermaksud buang rahim. Kedua-kedua histerektomi dan terapi radiasi menyebabkan pesakit mandul dan tidak dapat hamil.

Walaubagaimanapun, pada peringkat awal kanser serviks (cth. Peringkat 1A), pembedahan mungkin hanya melibatkan serviks (dengan tisu di sekitarnya) dan bahagian atas faraj. Prosedur ini dikenali sebagai trachelectomy radikal. Pembedahan ini biasanya adalah untuk pesakit muda yang belum lagi membentuk keluarga. Bagi kes seperti ini, pesakit tidak mandul kerana masih mempunyai rahim.




17. Bolehkah kanser serviks menyebabkan haid anda berhenti? (110 bertanya)

Gejala-gejala kanser serviks seperti kitaran haid tidak normal, pendarahan selepas hubungan seks (postcoital bleeding) dan pendarahan haid yang berpanjangan. Rawatan kanser serviks dapat menghentikan haid kerana rahim akan dibuang dan terapi radiasi boleh menyebabkan ovari tidak dapat berfungsi (menopause).

Jika rawatan tersebut hanya trachelectomy radikal, rahim adalah dikekalkan dan pesakit tersebut akan mempunyai kitaran haid seperti biasa.

 

Tiada ulasan: