Isnin, 22 April 2013

Keputusan Pap Smear Tidak Normal & Kolposkopi




Apabila keputusan ujian penyaringan kanser pangkal rahim Pap smear tidak normal, pesakit akan dirujuk kepada pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut kolposkopi (colposcopy). Pap smear tidak normal biasanya terdapat perubahan sedikit pada sel pangkal rahim. Perubahan sel ini mungkin merupakan petanda awal kanser pangkal rahim yang boleh berlaku di masa depan. Walau bagaimanapun, kemungkinan perubahan ini menjadi kanser sangat kecil.


Kolposkopi adalah satu lagi pemeriksaan saringan untuk menentukan lokasi dan jenis perubahan (abnormalities) di pangkal rahim. Semasa pemeriksaan, pesakit akan baring di katil khas, kaki diletakkan di atas alat penyokong kaki. Doktor pakar akan memasukkan alat ‘speculum’ sama seperti ujian Pap smear. Doktor pakar akan melihat pangkal rahim dengan alat kolposkop. Kolposkop merupakan alat khas yang mempunyai mikroskop. Ia merupakan kanta pembesaran yang mempunyai sumber cahaya. Alat ini tidak menyentuh atau dimasukkan ke badan pesakit.


Semasa pemeriksaan, doktor pakar akan menyapu beberapa jenis cecair ujian termasuklah acetic acid 5% (seperti cuka masak) dan iodine. Setelah itu, bahagian tidak normal di pangkal rahim akan lebih kelihatan jelas dan akan dibiopsi. Pesakit mungkin terasa kurang selesa tetapi tidak sakit.

Ujian kolposkopi memakan masa 15 minit. Keputusan biopsi siap dalam masa beberapa hari. Doktor pakar akan menasihatkan pesakit dan menerangkan rawatan lanjut jika perlu ataupun pesakit hanya perlu menjalankan ujian Pap smear secara berkala.

Tiada ulasan: